Ada Apa Dengan #Hashtag?

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Dalam group whatsapp dengan kawan-kawan, ada cerita tentang kebaikan simbol # untuk entri di blog, facebook dan Instagram. Nanti senang nak cari semula perkara/nota atau perkataan yang ditandakan # tu. Jejak carian di Google pun mudah terpapar di mukasurat pertama. Sekarang # dimana-mana pun akan keluar.

Saya ni baru ambil tahu pasal #, lagipun saya kurang aktif di facebook. Cuma rajin menulis di blog ini sahaja, itupun bukan buka blog setiap hari. Entri yang keluar tu dah set siap-siap (scheduled post) untuk sekian hari guna Auto Publish. Tapi nak kena cuba la guna simbol # dalam blog ni.

Jadi saya pun minta tolong Encik Google cari tentang # dan tertarik dengan perspektif seperti di bawah ini. Bagi yang belum tahu atau kurang tahu macam saya, jom kita sama-sama baca.


Hashtag merupakan simbol # yang sememangnya ada di semua gadget yang mempunyai keyboard seperti komputer, telefon bimbit/pintar dan tablet. Sebelum wujudnya banyak laman sosial, simbol hashtag ini kurang popular penggunaannya.

Namun ia kini merupakan antara simbol yang sering diguna oleh pengguna laman sosial seperti Twitter dan Instagram. Semakin hari semakin ramai yang tegar menggunakannya. Ia menjurus kepada persoalan tentang fungsi dan tujuan penggunaan simbol hashtag. 


Gambar diatas menunjukkan bahawa kebanyakan trending di Twitter bermula dengan simbol # dan ini merupakan perkara yang sering dilihat hampir setiap hari.

Apakah fungsi sebenar penggunaan #hashtag dilaman sosial?

Bagi pengguna twitter, simbol tersebut sudah sinonim. Tujuan # atau hashtag diletak diawal perkataan adalah bagi memudahkan carian sesuatu perkara yang ditweet seperti #SayaLapar. Jadi, apabila saya klik #SayaLapar, maka saya akan melihat senarai tweet yang menggunakan #SayaLapar tidak kira sama ada saya follow atau tidak follow pengguna berkenaan.

Di Instagram pula, penggunaan hashtag diawal perkataan berfungsi sama seperti di Twitter. Namun ia juga berfungsi membuatkan gambar yang dimuatnaik tersebut menarik lebih ramai pengguna melihat gambar tersebut.

Penggunaan hashtag ini juga telah tersebar ke Facebook. Namun ramai yang mempertikaikannya. Dari perspektifku, jika anda menggunakan hashtag diawal perkataan di Facebook adalah lebih baik anda berhenti menggunakannya sekarang kerana tiada apa fungsi pun sebenarnya.

Kesan penggunaan hashtag.

Hashtag adakalanya mendatangkan kebaikan dan adakalanya menjengkelkan (annoying). Kebaikannya datang apabila ia amat membantu dalam memudahkan carian tentang suatu topik yang sedang diperkatakan ramai seperti yang dinyatakan diatas iaitu penggunaan ‘#SayaLapar’.

Hashtag juga memudahkan pengguna Twitter berdiskusi tentang suatu topik. Misalnya kini menjelang pilihanraya ke-13, penggunaan #PRU13 membuatkan lebih ramai mendapat info terkini tentang PRU-13. Ini membuktikan bahawa penggunaan hashtag merupakan cara paling mudah untuk menyebarkan maklumat terkini.

Malah, jika kita meneliti trending di Twitter setiap hari, sudah pasti akan ada beberapa topik yang trending mempunyai simbol # diawal perkataan. Justeru ia menunjukkan juga bahawa sesuatu topik akan mudah menarik lebih ramai untuk tweet tentang ia jika hashtag diguna.

Selain itu, penggunaan hashtag dalam tweet boleh diguna untuk membuatkan sesuatu perkataan itu sebagai ‘punchline’ atau penarik untuk lebih ramai yang membaca tweet tersebut. Di samping itu, ia menyerlahkan mesej yang ingin kita sampaikan dalam tweet tersebut.

Walaubagaimanapun, hashtag boleh menjadi suatu yang menjengkelkan terutamanya apabila terlalu banyak hashtag diguna untuk hanya satu Tweet atau satu gambar di Instagram sahaja. 

Ada yang berpendapat dengan cara ini ia akan meningkatkan peluang lebih ramai yang akan ‘Like’ gambar tersebut. Misalnya gambar yang dimuatnaik ialah seekor kucing dan kita guna hashtag #Cat , dan apabila ada pengguna Instagram yang membuat carian #Cat peluang gambar kita dilihat lebih ramai dan dapat lebih ‘Like’ adalah tinggi.

Namun, ada juga yang berpendapat jika terlalu banyak hashtag untuk satu gambar, ia seakan-akan seseorang itu memang mahu banyak Like. Malah ada yang mengatakan mereka yang terlalu banyak menggunakan hashtag untuk satu gambar adalah ‘attention seeker’.

Penggunaan hashtag boleh juga menjengkelkan apabila ia disalahguna seperti bukan mahu menyampaikan mesej atau topik tetapi untuk mengutuk seseorang secara tidak terus ataupun ‘indirect’. Ini biasanya dilihat dengan penggunaan #PleaseTerasa.

Dari perspektifku, ia berbalik kepada asas iaitu niat dan tujuan masing-masing tentang penggunaan hashtag. Tak semestinya yang guna banyak hashtag ini adalah ‘attention seeker’ atau berniat mahu mengutuk seseorang.

Gunakanlah hashtag sebetulnya.

Secara kesimpulannya, penggunaan hashtag merupakan suatu cara untuk membuatkan interaksi pengguna-pengguna laman sosial lebih menarik dan menyerlah. Di Twitter ia amat memudahkan kita berdiskusi tentang sesuatu topik di samping berkongsi maklumat terkini.

Walaubagaimanapun penggunaan hashtag ini boleh menimbulkan perasaan kurang senang apabila ia disalahgunakan seperti yang telah dinyatakan diatas. Namun setiap pengguna laman sosial mempunyai hak untuk menggunakan hashtag tanpa limit.

Malah setiap pengguna mempunyai pandangan yang berlainan tentang fungsi hashtag. Bukalah minda kita untuk menerima pandangan orang lain.

Lain orang lain perspektif, Ini Perspektifku.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Meningkatkan Hb Dalam Darah

Perbezaan Cerpen dan Novel

Dropship Buku