Jangkitan Kuman

Teks: Ruslinda Abdul Jalil
Gambar: Sendiri

Empat hari sebelum sessi persekolahan 2015, anak sulung saya mengalami demam panas, sekejap baik sekejap demam. Jam 4 pagi mesti terjaga dari tidur dan mengadu sejuk sangat, sampai menggigil tubuhnya. Tapi bila saya sentuh badannya berhaba panas. Saya terus bagi ubat dan basahkan kepalanya, takut kalau suhu tinggi sangat nanti jadi sawan pula. 

Dia hanya sempat ke prasekolah sehari setengah sahaja. Hari kedua tu, cikgu telefon meminta saya mengambil anak di sekolah kerana keadaannya yang sangat lemah dan tidak dapat menyiapkan tugasan yang cikgu berikan.

Kebetulan saya dan suami memang mengambil cuti minggu pertama persekolahan untuk melatih dia ke sekolah. Jadi, kami terus ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan. Ujian darah menunjukkan platlet darahnya rendah. Mujurlah tidak kena masuk wad. Doktor mengesyaki demam denggi kerana kami tinggal di kawasan wabak tetapi meminta kami datang lagi keesokan hari untuk ujian darah semula. Kami dibekalkan dengan ubat Paracetamol 250 dan hari kedua diberi ubat batuk (kerana anak saya mengalami batuk berkahak semasa demam ini).

Kasihan saya melihat keadaannya semasa sakit. Melepek sahaja dan tidak ceria. Mujurlah dia masih mahu makan dan minum air. Semasa bagi makan ubat pun mudah sahaja dia telan. Suami saya perasan ada bintik macam ruam merah di lengan dan kakinya. Bimbang saya kalau kena denggi berdarah.

Selama empat hari kami berulang-alik ke hospital untuk mengambil ujian darah barulah doktor beritahu anak saya demam akibat jangkitan kuman sahaja, tiada virus denggi. Doktor bekalkan ubat antibiotik sebanyak 2 botol dan mesti dihabiskan dalam 1 minggu.

Kata doktor, jangkitan kuman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira di mana sekiranya terdapat virus pencemaran dalam udara yang kita sedut. Doktor suruh saya rasa benjolan-benjolan kecil di leher anak (bawah telinga dekat rahang). Kalau ada benjolah menandakan badan kita sedang melawan kuman / virus yang menyebabkan kesihatan terganggu.

Lagi satu doktor pesan, jangan korek telinga anak menggunakan putik kapas. Nanti najis akan masuk terus ke dalam dan menyebabkan masalah telinga. Biarkan najis dalam telinga keluar secara semulajadi, nanti keluar sendiri bila sampai masanya. 

Alahai, kasihan anakku sayang
Alhamdulillah, demamnya kebah selepas 11 hari. Dia kembali ceria untuk ke sekolah dan teruja bercerita tentang apa yang dipelajari setiap hari. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Meningkatkan Hb Dalam Darah

Perbezaan Cerpen dan Novel

Dropship Buku