Memarahi vs Menerangkan
Anak kecil ditimang-timang, dipeluk dan dicium hampir setiap
saat. Lihat sahaja muka bayi, mahu sahaja dipeluk cium. Hilang semua tekanan
dan masalah apabila dapat peluk dan cium ahli syurga ini.
Apabila anak semakin besar, 4-5 tahun usianya sudah semakin
lincah, pandai meneroka sekeliling. Bedak dijadikan salji, air dilantai
dijadikan permainan meluncur. Apabila memegang pen, pensil mula melakar dan
menghasilkan karya seni di kertas dan dinding rumah. Mencampurkan semua bahan
yang ada di dapur untuk resepi rekaan terbaru dan dimasukkan dalam peti ais
untuk lihat hasilnya.
Ini cuma sebahagian kecil penerokaan dan kaji selidik
anak-anak. Semakin membesar semakin mencabar. Ada sahaja perkara yang mereka
lakukan. Pada mereka ianya satu keseronokan tapi kenapa dimarah pula?
Kasihan anak-anak yang semakin membesar. Hampir setiap
perkara baru yang mereka lakukan dimarahi ibu. Peluk cium ibubapa semakin
berkurangan. Apa puncanya?.
Apakah ibu dan ayah sudah tidak sayangkan saya? Sudah tentu
tidak. Tetapi kenapa saya selalu dimarahi? Apabila bermain dengan adik, adik
ambil barang saya, saya yang kena marah. Adik tumpahkan air, saya yang kena
lap. Adik sepahkan mainan, saya yang kena kemas.
Mungkin inilah antara keluhan anak-anak yang semakin
membesar. Adakala tindakan ibubapa menyebabkan anak berfikir begitu. Setiap
perkara yang ditegur perlu diberi penerangan kenapa tidak boleh. Anak-anak akan
lebih memahami setiap situasi. Namun bukan sekali dua, anak-anak perlu
diterangkan berkali-kali tentang sesuatu perkara untuk mengingatkan mereka.
Memarahi anak adalah perkara yang biasa bagi segelintir
ibubapa, namun jangan sampai mencederakan emosi anak-anak. Ini memberi impak
tindakan anak-anak apabila berhadapan situasi sama. Ia boleh terbawa-bawa
sehingga anak dewasa sekiranya tidak diubah.
Saya teringat pada satu hadis yang dipelajari semasa kursus
mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi..
Anas bin Malek melaporkan, pada satu masa dia dan
orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi
Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid,
lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil.
Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ
terus mengherdik lelaku tersebut. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata,"Jangan
buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja". Lalu semua yang ada
membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata
kepadanya, "Sesungguhnya di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau
membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah,
bersembahyang dan membaca Quran". Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah
seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kencing itu.
Hadis no 186 dalam kitab ringkasan Sahih Muslim.
Sudah ada idea bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak
apabila membawa mereka ke masjid?
Baca lagi di blog penulis
Penulis: Wan Rohani Ismail
Kelas asas blog dan penulisan.
Ulasan
Catat Ulasan