Hospital Kuala Lumpur
Teks: Ruslinda Abdul Jalil
Sudah lama saya tidak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Banyak perubahan yang berlaku di persekitarannya. Ada bangunan sedang ditambabahbaik dan parking pun percuma. Keadaan di hospital memang sesak dengan orang dan kenderaan. Kalau tiada urusan atau sakit sudah tentu tiada yang mahu ke hospital kan, macam saya - takut ubat takut jarum, bau hospital pun seram!.
Baru-baru ini saya terkena penyakit mata jadi terpaksa ke hospital untuk rawatan dan cuti sakit kerana tidak tertahan pedihnya, kepala pun rasa sakit. Bermacam petua dicari, ada yang suruh bubuh air susu badan dan sebagainya. Sabar Linda, Allah menurunkan sakit ini untuk menguji dan menyedarkan kealpaan saya.
Seingat saya, Jabatan Pesakit Luar ini dahulunya terletak di bahagian dalam yang sama bangunan dengan Jabatan Kecemasan, tetapi sekarang Jabatan Pesakit Luar diubah berdekatan Masjid HKL dan Jabatan Pediatrik. Dulu ada palang parking dekat Masjid HKL ini, apabila hendak masuk ke kawasan HKL kena ambil tiket dahulu untuk membayar parking nanti. Tapi sekarang palang parking sudah tiada, parking pun tak kena bayar dah.
Jabatan Pesakit Luar memang sentiasa ramai orang. Parking pun susah nak cari - berlapis-lapis. Mula-mula kena isi borang maklumat diri dulu. Kemudian kita serah semula borang itu di kaunter dan membayar RM1.00 untuk warganegara Malaysia. Anda akan ditanya jenis penyakit anda hari itu sebelum di beri nombor giliran. Tunggu sehingga nama / nombor giliran anda di panggil sementara mereka mencari fail anda (kalau pernah datang sebelum ini). Terdapat kaunter tekanan darah di luar setiap bilik rawatan. Ada 15 - 20 pintu bilik rawatan tetapi tidak semua bilik ada doktor. Kalau ramai doktor bertugas mungkin dapat mempercepatkan tempoh pesakit menunggu.
Selepas jumpa doktor di bilik rawatan, anda diberi resit untuk ambil ubat di farmasi. Ikut petunjuk arah ke farmasi dan serah resit tadi di kaunter ubat untuk mengambil nombor giliran. Tunggu nombor anda sambil duduk di kerusi yang disediakan tetapi kerusinya terlalu rapat hingga sukar hendak berjalan keluar. Kasihan juga kepada warga emas yang terpaksa menunggu dan berdiri. Selepas mendapat ubat, sekiranya anda tidak tahu pemakaian ubat yang diberikan, anda akan dirujuk ke bahagian kaunseling untuk menerangkan cara menggunakan ubat tersebut.
Bila dah dapat ubat dan nasihat, anda balik rehatkan diri dan jangan lupa makan ubat yang dibekalkan supaya cepat sembuh. Insya Allah, kita hanya berusaha tetapi Allah jua yang menyembuhkan.
Jumpa lagi.
Ulasan
Catat Ulasan