Bercuti Ke Sabah (Hari Keempat)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Mengikut rancangan asal kami sepatutnya bertolak ke Kudat hari ini tetapi terpaksa di batalkan kerana kami belum sempat melawat tempat di Ranau. Perjalanan ke Kudat akan mengambil masa selama 3 jam. Kalau anda berpeluang ke sana anda mesti pergi ke Simpang Mengayau atau dikenali sebagai Tip of Borneo - tanduk Sabah kerana kelihatan seperti tanduk jika di lihat dalam peta untuk melihat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Proses check-out dari homestay Sabah Baru Motel sangat mudah kerana pesan En. Ooi kalau tiada orang di depan rumah, tinggalkan kunci di peti pos sahaja.

Hari ini kami bersarapan di Ladang Teh Sabah. Namun perjalanan mendaki bukit ke Sabah Tea yang tidak berturap amat menyeksakan badan dan kenderaan juga. Di harap pihak pengurusan Sabah Tea dapat menambah baik jalan berbatu itu kepada jalan berturap. Anda jangan berharap untuk melihat pokok-pokok teh yang subur menghijau seluas mata memandang seperti di Cameron Highlands kerana disini tidak banyak pokok teh.

Kami memesan seteko teh saiz medium RM 8.00 bersama gula dan susu disediakan, nasi goreng seafood RM 12.00 dan tea pancake RM 11.00. Saya ingatkan macam pancake tepung segera tu rupanya dia buat piau guna pati teh, pahit dan berbau teh walaupun dimakan dengan madu. Dah la ada 4 keping saya cuma makan secubit sahaja dan suami ketawakan saya yang terkulat-kulat hendak menelan :-p. Dari meja makan kami, nampak la tanaman teh yang botak di sana sini, tak cantik macam di Cameron Highlands.
ruslindajalil.blogspot.com
Pancake yang sangat teh!
Turun dari Sabah Tea anda belok ke kiri sikit je dah sampai ke 'Tagal' Sg Moroli, Kg Luanti Baru, Ranau untuk bermain dengan ikan kelah yang jinak. 'Tagal' bermaksud tidak boleh menangkap ikan dalam dialek tempatan Kadazandusun. Bayaran masuk dewasa RM 5.00, kanak-kanak RM 2.00 dan kamera RM 3.00 untuk 15 minit rendam kaki. Kalau nak mandi bersama ikan RM 10.00 dikenakan. Makanan ikan pula dijual RM 0.20 sepeket tetapi tak boleh beli banyak takut ikan mati akibat terlebih makan. Dan, kalau ikan terlalu kenyang orang lain datang tak dapat bermain dengan ikan pulak kan.

Airnya cetek je tapi bila kita datang rendam kaki punyalah banyak ikan yang datang. Mungkin dia dapat bau makanan ikan yang kita bawa :-). Genggam makanan ikan 3-4 biji je dalam tangan kemudian rendam tangan ke dalam air. Ikan akan sedut tangan dan cuba dapatkan dedak dalam tangan anda itu. Geli seh!. Jangan buka tangan sehingga anda dapat usap-usap ikan tu. Ada ikan kelah, lampam dan 1-2 ekor ikan keli sesat. Gigitan ikan lampam rasa tidak selesa, bila terkena gigitan ikan lampam anak saya terus melompat hendak naik ke darat dia kata sakit ikan gigit. Jadi diorang berdua bermain dengan batu-batu sungai je la.
ruslindajalil.blogspot.com
Mama, ikan gigit abang!
Kemudian kami ke Poring Hot Spring. Bayaran masuk dewasa RM 3.00. Nasihat saya bagi anda yang mempunyai anak yang suka main air macam anak-anak saya, lebih baik bawa siap-siap tuala dan pakaian salin kerana selepas turun dari Canopy Walkway badan akan berpeluh dan anda mesti terliur hendak melompat ke dalam kolam mandi hahaha. Kalau hendak berpatah balik ke kereta memang letih dibuatnya. Di pintu masuk ada kaunter pemeriksaan tiket. Ada restoran, tandas, bilik persalinan, surau, kolam air panas dan kolam air biasa dewasa dan kanak-kanak. Berjalan naik anda akan sampai ke Butterfly Farm dan kalau hendak masuk kena bayar lagi RM 3.00 seorang dewasa. Tak banyak sangat rama-rama di sini, ada bilik pameran berhawa dingin yang menempatkan pelbagai jenis rama-rama dan serangga yang sudah diawet.

Keluar dari Butterfly Farm kalau anda terus ke depan ada Canopy Walkway dan Air Terjun Kipungit. Kami masuk ke Canopy Walkway dengan bayaran RM 3.00 seorang dewasa + RM 5.00 yuran kamera. Di pintu masuk ada tanda amaran kepada pesakit jantung dan darah tinggi. Bagi anda yang gayat pun jangan naik, nanti tak pasal-pasal ketar kaki tidak dapat berjalan atau pengsan. Anda akan berjalan kaki mendaki banyak anak tangga untuk sampai ke jambatan gantung yang merentasi pokok-pokok hutan dan pemandangan hijau. Letihnya hendak sampai ke jambatan gantung tu, boleh semput dibuatnya. Anda akan melintasi 4 platform jambatan yang di gantung pada pokok hutan sebesar 2-3 pemeluk. Di platform ke 3 ada petugas yang akan memeriksa tiket anda. Fuh! sebaik sahaja turun saya rasa tak berpijak tanah, bergegar kepala lutut.
ruslindajalil.blogspot.com
Tak takut diorang ni!
Anak-anak dah tak sabar nak mandi kolam. Sebaik sahaja turun diorang terus terjun ke dalam kolam. Airnya sejuk dingin, sekejap sahaja bibir sudah bertukar kebiruan. Kemudian saya mengajak suami dan anak-anak ke kolam air panas pula. Banyak bumbung kecil dibina dan di bawah setiap bumbung ada 4 buah kolam air panas yang berbau sulfur.

Kami mengejar masa sebelum hari gelap untuk ke Rumah Terbalik. Bayaran masuk RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak. Kalau tak nak masuk cuma hendak mengambil gambar di luar rumah RM 5.00 dikenakan. Anda akan disambut oleh petugas yang berkain batik. Sebelum rombongan pelanggan dibawa melawat ke dalam rumah, gong akan diketuk menandakan ketibaan. Anda akan diberi penerangan dan amaran larangan mengambil gambar dalam rumah dan di setiap sudut rumah ada cctv pemantau. Sekiranya tertangkap anda akan didenda. Pelan rumah ini biasa sahaja, ada ruang tamu bersambung dengan ruang dapur, balkoni, bilik utama dan satu bilik tidur. Semua perabot, perkakas elektrik, pakaian, buku, cicak mainan adalah terbalik. Katanya yang paling sukar untuk diterbalikkan adalah mesin jahit lama kerana sangat berat. Kos menyediakan Rumah Terbalik ini termasuk tapak tanahnya bernilai jutaan ringgit. Sekejap je dah selesai dan kami ke ruang bergambar yang dibenarkan diluar iaitu tandas, kereta dan kebun bunga yang semuanya terbalik. Saya membeli cenderahati untuk diri sendiri dan anak-anak sebagai kenang-kenangan.

Kami balik ke Kota Kinabalu dan singgah ke Pasar Malam Kampung Air untuk membeli cenderahati. Ada jual key-chain 8 pcs RM 10, fridge magnet, kerongsang, mutiara, beg, t-shirt dan barang perhiasan. Anda kena tawar-menawar barulah dapat harga terbaik. Kalau tak dapat pergi sahaja ke kedai lain. Memandangkan hari sudah malam dan kami pun sudah keletihan berada di luar sepanjang hari, saya terus sahaja mengambil keputusan menginap di Hotel Merdeka berharga RM 85.00 untuk triple bed yang terletak bersebelahan Pasar Malam Kampung Air. Namun hotel tangkap muat ini tidak memuaskan kerana keadaan bilik dan tandas yang comot serta kurang bersih. Suami saya mengajak berpindah ke hotel lain tetapi saya memujuk supaya tidak pedulikan kecacatan itu kerana bermalam sekadar untuk merehatkan diri dan melelapkan mata sahaja, esok dah nak balik ke Kuala Lumpur.

Sekiranya anda berada di Kota Kinabalu pada hari AHAD, anda boleh ke Pasar Gaya yang terletak di sepanjang GAYA STREET, macam pasar tani dibuka dari pagi hingga 12.00 tengahari. Jalan ini akan ditutup untuk peniaga tempatan menjual hasil laut, sayuran segar, kraftangan dan banyak lagi. Hendak membeli di sini anda mestilah pandai tawar-menawar.

Jumpa lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Meningkatkan Hb Dalam Darah

Perbezaan Cerpen dan Novel

Dropship Buku