Fidyah: Hukum, Sebab dan Taksiran
Saya copy paste sumber dari FB Jakim untuk bacaan saya :)
FIDYAH
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh
kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja
melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
HUKUM FIDYAH
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan
mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan
(hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal
Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan
oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar
harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan
kepada fakir atau miskin.
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH
1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan
tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu
berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang
dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan
membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan
bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya
itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia
hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan
hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah
melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar
fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran
fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
TAKSIRAN FIDYAH
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) =
FIDYAH
KADAR BAYARAN FIDYAH
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan
ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang
ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H,
secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak
menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya
ialah:
RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun =RM16.20
* Jumlah hari puasa yang wajib di qadha tetap 3 hari sahaja.
Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.
Wallahua'lam.
Ulasan
Catat Ulasan