Demam Campak

Teks: Ruslinda Abdul Jalil


Hampir sebulan saya diam dari blog dan fb kerana mengalami demam campak. Tak sangka pula dah tua pun boleh kena demam cantik ni :-)

Mulanya saya demam hampir dua minggu dah, pakej dengan batuk dan selsema tapi saya tetap pergi kerja kerana banyak tugasan yang belum selesai di pejabat. Dalam masa yang sama anak sulung saya pula demam panas tapi dia aktif je tak macam orang sakit, selepas tiga hari demam barulah keluar bintik-bintik air di badan anak saya. Jadi cikgu nasihatkan tidak bawa anak ke taska kerana takut berjangkit dengan kanak-kanak lain. 

Terpaksalah saya dan suami bergilir shif kerja untuk menjaga anak yang kena demam campak itu. Doktor memberikan calamine lotion untuk di sapu ke badan selepas mandi dengan lactacyd liquid untuk mengurangkan gatal. Ada rakan yang mencadangkan suntikan viral untuk mengurangkan bintik-bintik campak yang keluar tetapi pada pendapat saya biarlah campak itu keluar banyak pun, tak usah di sekat-sekat kerana bimbang dia datang lagi nanti.

Selepas seminggu anak sulung kena demam campak, barulah saya perasan badan saya pun ada bintik-bintik air dan nanah, nampak lebih besar dari bintik di badan anak saya. Esoknya dengan pantas banyak lagi bintik yang keluar di seluruh badan, dalam kelopak mata, gusi, tekak, dalam telinga, hidung termasuk di celah-celah badan, muka dan kepala. Eh! orang kata kalau dah pernah kena campak masa kanak-kanak dulu, bila dewasa tak kena dah kan. Tak jugak!. 

Atas faktor umur, antibodi badan kita mungkin dah berkurangan untuk melawan penyakit jadi semasa kena demam dan demam campak ni badan saya rasa sangat lemah, lenguh dan sakit kepala yang sangat kuat. Saya hanya berbaring sepanjang hari tidak berdaya buat apapun termasuk menguruskan diri sendiri. Lima hari saya tidak makan kecuali minum air jus buah kerana hilang selera makan. Dalam mulut dan bibir pun ada bintik, nak makan pun susah.

Saya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, pada mulanya doktor syak denggi kerana saya tinggal di kawasan wabak denggi dan saya sudah demam 2 minggu. Tetapi selepas ujian darah, doktor kata saya demam campak dan diberi cuti sakit 10 hari. Doktor kata penyakit ini senang berjangkit melalui cecair badan seperti air liur, batuk dan bersin. Kena selalu cuci tangan. Bila hendak cuci pakaian, asingkan baju pesakit dengan orang lain. Jangan berkongsi tuala mandi. Kerap mandi untuk menurunkan panas badan dan mengurangkan gatal. Minum banyak air termasuk minuman jus buah walaupun bukan air masak. 

Saya ikut petua yang kawan-kawan bagi, suruh minum air kelapa, mandi dengan air ramasan daun bambu, tidur alas daun bambu, makan sup ayam, jangan makan daging dan jangan makan telur. Demam campak ni dia punya gatal kalau garu pun tak sedar tau. Tengok-tengok dan pecah / melepuh bintik tu.

Tak habis di situ, anak kedua saya pula kena demam campak! Dia ni kalau kena demam memang lembik, melepek, merengek sebab badan dia lemah tak kuat macam anak sulung yang kalau demam pun boleh berlari-lari sampai berpeluh! Tak nampak macam orang sakit. Bertambah lagi pesakit di rumah saya menjadi 3 orang!. Suami lah yang menjadi jururawat menjaga saya dan anak-anak yang kena demam cantik ni, dia lah yang menyapu calamine lotion, menguruskan anak-anak dan membuat kerja-kerja rumah lain di samping terkejar-kejar pergi kerja. Terima kasih banyak Abah kerana sabar menjaga mama dan anak-anak.

Selepas tiga minggu barulah bintik-bintik campak itu kering dan beransur hilang tetapi parutnya tetap ada :-( 

Dah tiga minggu juga saya bercuti, mulai esok saya akan mula bekerja di pejabat seperti biasa :-/

Jumpa lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Meningkatkan Hb Dalam Darah

Perbezaan Cerpen dan Novel

Dropship Buku